N11-Gunalah cara berhemah untuk meraih undi

Sebelum mengulas mengenai Pilihanraya Kecil( PRK) Permatang Pasir,kawan ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada semua muslimin dan muslimah.Semoga dapat menjalani ibadah puasa pada kali ini dengan lebih sempurna.Bulan Ramadan pada kali ini jika diperhatikan lebih unik berbanding pada tahun-tahun lalu kerana kita akan berpuasa pada hari kemerdekaan negara kita yang ke-52 iaitu pada minggu hadapan.Justeru,di bulan Ramadan dan bulan kemerdekaan ini,penerapan nilai-nilai murni dan semangat nasionalisme dalam diri kita(termasuk kawan juga) perlu ditingkatkan lagi ke arah yang lebih baik dan sempurna.

Pada bulan yang mulia ini juga,negara kita akan mengadakan Pilihanraya Kecil(PRK) di kawasan DUN Permatang Pasir iaitu di Pulau Pinang.Seperti biasa,kempen untuk meraih undi antara parti-parti yang bertanding iaitu parti BN dan PAS semakin giat dijalankan kerana tujuannya satu sahaja iaitu kedua-dua parti tersebut cuba untuk memenangi PRK itu.Tetapi dengan meneliti perjalanan kempen PRK ini,kawan tidak faham mengapa terdapat serangan-serangan yang tidak baik terhadap peribadi calon-calon yang bertanding dalam PRK tersebut.Kenapa perlu ada serangan-serangan seperti itu?Bukankah elok setiap parti yang bertanding menumpukan kepada perkara-perkara yang akan memberikan faedah kepada rakyat di kawasan tersebut.Kawan yakin bahawa rakyat sebenarnya tidak mahu mengambil tahu tentang perkara-perkara remeh tersebut kerana apa yang rakyat mahukan ialah faedah-faedah yang bakal diberikan oleh setiap calon yang menjadi pilihan rakyat.Sebaiknya setiap parti yang bertanding perlu menerangkan agenda-agenda yang ingin dibawakan kepada rakyat jika memenangi PRK tersebut kelak.Tidak dinafikan bahawa setiap bakal wakil rakyat perlu mempunyai peribadi yang unggul dan imej yang baik tetapi dengan membuat serangan-serangan tanpa menunjukkan bukti-bukti yang kukuh tidak wajar rasanya.Silap-silap serangan tersebut tidak ubah seperti fitnah yang merupakan perkara yang tidak baik dilakukan lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan ini.

Dalam hal ini kawan melihat bahawa peranan rakyat di kawasan tersebut sangat penting.Rakyat perlulah bijak memilih calon yang bertanding kerana pilihan mereka mencerminkan masa hadapan mereka juga.Rakyat perlu melihat calon dan parti mana yang bersungguh-sungguh untuk memberikan faedah dan bukannya hanya pandai memainkan isu-isu sensasi sahaja.Rakyat perlu ingat bahawa calon-calon dan parti-parti yang bertanding cuba meraih undi daripada rakyat dan mereka akan cuba mempengaruhi minda dan pemikiran rakyat dengan pelbagai kaedah dan pendekatan.Justeru,rakyat perlu bijak dalam memilih calon dan parti yang terbaik dan elakkan daripada membuat pilihan mengikut emosi semata-mata.Kawan percaya bahawa penduduk di Permatang Pasir bijak menilai setiap tindak-tanduk yang dilakukan oleh calon-calon dan parti-parti yang bertanding dalam waktu kempen ini.Waktu kempen ini merupakan masa yang terbaik untuk rakyat menilai calon mana yang terbaik dan rakyat perlu membuat pilihan yang bijak untuk kepentingan masa depan mereka sendiri.Kepada parti-parti yang bertanding,elakkan daripada hina-menghina sesama manusia kerana sebagai bakal pemimpin,anda seharusnya menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada generasi-generasi akan datang.Kebetulannya pada bulan Ramadan ini iaitu bulan yang sangat mulia,berkempenlah secara berhemah, elakkan daripada kutuk-mengutuk dan fitnah-memfitnah serta gunakan cara yang baik untuk meraih undi rakyat.

jomulo-tolak retorik

0 comments: